catatan hidup seorang muslimah akhir zaman, yg bercita-cita menjadi solehah…

I was here..

monolog_6

Suntikan Vaksin Pertama

Assalamualaikum.

Terima kasih singgah di blog saya. Semoga Allah melindungi kita semua dari kejahatan manusia. SesungguhNya Allah itu sebaik-baik pelindung.

Semalam, saya telah pergi untuk mendapatkan suntikan vaksin secara ‘walk-in’. Alhamdulillah rezeki dapat masuk untuk dapat vaksin. Keadaan tidak begitu ramai orang berbanding waktu suami saya dapat vaksin pertama dulu. Saya pilih vaksin Pfizer. Alhamdulillah semua proses berjalan lancar walaupun saya masih belum mahir berbahasa Jerman. Ok, nanti sambung cerita vaksin kedua. Danke schön. Wassalam.

Yang ikhlas,

Nur Fazleen, 7 Ogos 2021, 13:10 (waktu Jerman)

Assalamualaikum.

Terima kasih kerana singgah di blog saya. Semoga Allah beri kesihatan yang baik buat kita semua.

Siapa minat pokok-pokok? Kita sama. Saya ada beli dua jenis tumbuhan hijau semasa berjalan-jalan di Vaihingen tempoh hari. Seperti dalam gambar di bawah, yang sebelah kiri adalah Lemon Basil dan kanan adalah Lemon Balm (Mula-mula ingatkan daun pudina, tapi bukan rupanya). Pokok ni saya letak di dapur dan sambil masak boleh petik daun dan makan 😊. Moga dua pokok ni dapat teman saya sampai 3-4 tahun. Amin

Yang ikhlas,

Nur Fazleen, 3 Ogos 2021, 18:25 (waktu Jerman)

Assalamualaikum.

Terima kasih singgah di blog saya. Semoga Allah beri kesihatan yang baik untuk kita semua.

Kali ini, saya ingin menulis berkaitan surat pertama yang saya dapat disini. Surat tersebut dari Bundeszentralamt fĂŒr Steuern (Pejabat Cukai Pusat Persekutuan). Tajuk surat adalah Zuteilung der Identifikationsnummer nach § 139b der Abgabenordnung (AO), yang membawa maksud lebih kurang Peruntukan Nombor Pengenalan mengikut § 139b Kod Cukai.

Dalam surat ini saya diberi nombor pengenalan untuk tujuan cukai dan berlaku secara kekal, walaupun buat masa ini saya tidak disenaraikan untuk tujuan cukai lagi. Nombor ini adalah salah satu prosedur percukaian. Nombor tersebut merupakan prasyarat untuk meningkatkan penggunaan pemprosesan data elektronik dan menjadikannya lebih ekonomik. Begitulah maklumat yang diberi pada saya. Mereka minta saya simpan elok-elok surat tersebut. Itulah ceritanya.. Ok, sambung lagi nanti. Danke schön. Wassalam.

Yang Ikhlas,

Nur Fazleen, 2 Ogos 2021, 08:43 (waktu Jerman)

Assalamualaikun.

Terima kasih kerana singgah di blog saya.

Pada 30 Julai lepas, suami saya bawa kami jalan-jalan di kawasan Vahingen. Setiap hari Jumaat, suami saya memang akan singgah pergi ke Vaihingen untuk menunaikan solat Jumaat di masjid sini. Kawasannya memang sangat cantik dan tenang. Insyaallah kalau ada masa saya buat video Youtube jalan-jalan pertama kali di Vaihingen.

Yang ikhlas,

Nur Fazleen, 1 Ogos 2021, 11:37 (waktu Jerman)

Assalamualaikum.

Terima kasih singgah di blog saya.

Alhamdulillah, kami telah tamat kuarantin 10 hari di Jerman. Kami sampai Stuttgart pada 17 Julai 2021. Maka, kami mula kuarantin hari pertama pada 18 Julai 2021. Disini, kuarantin hanya 10 hari, namun kita boleh pendekkan tempoh kuarantin hanya 5 hari sahaja, dengan syarat kita buat PCR-Test pada hari ke-6. Kami membuat keputusan untuk tidak buat PCR-Test kerana anak-anak kami sudah sangat fobia kerana 2 kali SWAB pada 7 Julai dan 15 Julai. Hari ke-11 iaitu pada 28 Julai, kami dah mula keluar berjalan di Schloßplatz, Stuttgart. Boleh tonton video di Youtube kami seterusnya. Danke schön. Wassalam.

Yang Ikhlas,

Nur Fazleen, 31 Julai 2021, 11:50 pagi (waktu Jerman)

Assalamualaikum.

Jemput tonton video di atas dan terima kasih singgah di blog saya.

Perjalanan naik kapal terbang dari KLIA, Malaysia ke Stuttgart, Jerman. Transit di Istanbul, Turki. Ini adalah pertama kali, saya naik kapal terbang ke luar negara seorang diri membawa anak-anak. Pengalaman yang tidak mungkin dilupakan. Dugaan untuk berhijrah ke Jerman tu sangat berat juga lebih-lebih lagi pada musim pandemik Covid19. Malah, seminggu sebelum penerbangan ini, pernerbangan kami terpaksa dibatalkan kerana tiada #MyTravelPass . Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga sampai di Jerman.

Terima kasih pada mak, abah, ayah, adik beradik, ipar duai, serta rakan-rakan yang mendoakan. Terima kasih juga kepada Kak Ida dan suami yang bantu saya untuk pergi ke KLIA. Jemput follow instagram Kak Ida.

[Butiran penerbangan KLIA, Malaysia – Istanbul Airport, Turki (MH4271)]

Berlepas: 16 Julai 2021, 23:05 Waktu Malaysia

Mendarat: 17 Julai 2021, 05:15 Waktu Turki

*Kami mendarat lebih awal iaitu pukul 4:30

[Butiran penerbangan Istanbul Airport, Turki – Stuttgart Airport, Jerman (MH4321)]

Berlepas: 17 Julai 2021, 08:10 Waktu Turki

Mendarat: 17 Julai 2021, 10:05 Waktu Jerman

*Kami mendarat lebih awal iaitu pukul 9:30

#berhijrahkeluarnegara #naikkapalterbangmusimcovid #keluarnegaramusimpkp #belajardijerman

Yang Ikhlas,

Nur Fazleen, 30 Julai 2021, 07:41 (Waktu Jerman)

Assalamualaikum rakan-rakan yang membaca.

Saya doakan semua sihat sejahtera hendakNya. Saat saya menaip ini, saya sudah berada di Jerman genap 7 hari.

Alhamdulillah syukur rezeki Allah yang mendatangkan ujian dan senang kepada hamba yang dikehendaki. Bukan suatu yang mudah untuk saya, suami dan anak-anak untuk sampai disini. Insyaallah mulai saat ini, saya akan mula menulis kembali untuk menceritakan perjalanan pahit manis kami disini. Semoga ada manfaat kepada pembaca.

Tiket penerbangan kami ke Jerman sepatutnya dijadualkan pada 9 Julai 2021, 11.05 malam. Walau bagaimanapun, memang bukan rezeki kami untuk terbang pada malam itu. Kami tiada My Travel Pass. Kami tidak tahu berkaitan keperluan itu untuk keluar Malaysia. Boleh rujuk cerita saya di instagram saya post ini, KLIK DISINI . Pada awalnya, kami agak sedih kerana travel agensi tidak mengingatkan kami dan diberitahu untuk membayar 60USD/1 kepala untuk tukar tarikh penerbangan. Saya tidak mampu untuk membayar untuk 4 kepala. Selepas perbincangan, syukur travel agensi memohon pengecualian kepada Turkish Airlines berkaitan hal ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada staf Agensi Jumflyz@Sriamera Holidays (M) Sdn Bhd yang sangat mudah berurusan. Saya tidak ingat namanya.

Pada 11 Julai 2021, kami telah menghantar permohonan My Travel Pass secara dalam talian melalui website Imigresen Malaysia. Alhamdulillah pada 13 Julai, kami semak permohonan dalam website telah diluluskan. Terima kasih pihak Imigresen Malaysia. Alhamdulillah, travel agensi juga telah menempah tiket kami semula pada 16 Julai 2021, 11.05 malam (waktu Malaysia) dari KLIA, Malaysia ke Istanbul Airport, Turki. Manakala, perjalanan dari Istanbul Airport, Turki ke Stuttgart Airport, Jerman pada 17 Julai 2021, 8:10 pagi (waktu Turki). Boleh rujuk cerita saya di instagram saya post ini ketika di KLIA , Istanbul Airport dan sebaik tiba di Stuttgart Airport .

Baiklah, sampai disini saya menaip untuk artikel kali ini. Insyallah saya akan terus menaip dan menulis, kerana dari tahun 2009 saya sudah menaip di blog ini. Syukur blog ini setia menunggu saya untuk menulis. Hihi. Oh ya, jangan lupa follow instagram travelogduanleen kami ya. Terima kasih kerana membaca. Wassalam.

Ikhlas,

Nur Fazleen, 24 Julai 2021, 10:46 pagi (Waktu Jerman)

Mendapat isteri yang sesuai mungkin adalah impian para lelaki. Begitupun dengan wanita, siapa wanita yang tidak ingin mempunyai suami soleh dan sesuai kriteria ideal yang didambakan. Namun kita tahu bahawa tidak ada manusia yang sempurna. Kita hanya boleh mengusahakan agar dapat menjalankan peranan masing-masing yang terbaik dan sesuai dengan apa yang diridhai Allah Ta’ala.

Ada sebuah nasihat bagi seorang suami. “Bahagiakanlah isteri kerana membahagiakan isteri dapat melancarkan rezeki.” Benarkah demikian? Berikut sifat-sifat wanita yang boleh jadi akan mendatangkan rezeki bagi suaminya yang dikutip dari 9Redaksi:

1. Wanita yang taat pada Allah dan rasul-Nya

Ada empat faktor yang menjadi pertimbangan sebelum menikahi seorang wanita, iaitu kerana (1) kecantikannya, (2) keturunannya, (3) hartanya dan (4) agamanya. Kita diperintahkan untuk memilih wanita kerana faktor agamanya, beruntung sekali jika boleh mendapatkan keempatnya.

Wanita yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya akan membawa rumah tangga menuju syurga, menuju ketenteraman. Rumah tangga yang tenteram, selesa, bahagia adalah rezeki yang sangat berharga. Rumah tangga yang dinahkodai suami yang soleh didampingi isteri yang solehah akan menjadikan rumah tangga itu barakah, menghasilkan anak-anak yang soleh / solehah, mendapat redha dan rahmat Allah.

2. Wanita yang taat pada suaminya

“Jika aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada orang lain nescaya aku akan menyuruh seorang isteri untuk sujud kepada suaminya.” (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Sepanjang perintah suami tidak bertentangan dengan agama, maka isteri wajib mentaatinya. Ketaatan seorang isteri pada suaminya akan membuat hati suami tenang dan damai dan boleh menjalankan tanggungjawabnya mencari rezeki yang halal untuk keluarga. Akan halnya wanita yang berkarier di luar rumah boleh tetap bekerja sepanjang suaminya mengizinkan dan tanggungjawabnya untuk menjaga diri dengan baik di tempat kerja.

“Laki-laki adalah pemimpin atas wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian dari mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan dengan sebab sesuatu yang telah mereka (laki-laki) belanjakan dari harta-hartanya. Maka wanita-wanita yang soleh adalah yang taat lagi memelihara diri di belakang suaminya sebagaimana Allah telah memelihara dirinya “. (Q.S. An Nisa: 34).

3. Wanita yang melayani suaminya dengan baik

Tugas utama isteri adalah menjalankan tugas rumah tangga dengan sebaik-baiknya, melayani suami dengan baik serta mendidik anak-anaknya. Isteri yang baik berusaha melayani suaminya dengan baik seperti menyiapkan makanan, menyiapkan keperluannya, memenuhi keperluan biologi, menjaga perasaan suaminya jangan sampai suaminya terluka kerana sikapnya. Wanita yang demikian akan menjadi kesayangan suaminya dan boleh menjadi partner yang baik dalam mewujudkan rumah tangga yang sakinah dan menarik hal-hal positif dalam rumah tangganya, termasuk rezeki bagi suaminya.

4. Wanita yang berhias hanya untuk suaminya

“Sesungguhnya dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.” (HR Muslim).

Adalah sifat wanita yang suka bersolek dan berhias, tapi wanita yang soleh hanya berhias dan menampakkan perhiasan untuk suaminya. Wanita yang jika dipandang suaminya selalu menyenangkan dan tahu bagaimana menyenangkan suaminya. Wanita yang bahkan malaikat pun mendo’akannya akan memudahkan rezeki datang padanya.

5. Jika ditinggal menjaga kehormatan dan harta suami

Ketika suami keluar mencari nafkah, isteri yang ditinggalkan di rumah harus menjaga kehormatannya, menjaga dirinya dari tetamu yang tidak pantas, membataskan keluar rumah jika tidak terlalu penting. Harta suami yang dititipkan padanya dipergunakan pada hal-hal yang bermanfaat dengan izin suaminya. Wanita seperti ini memudahkan rezeki masuk ke dalam rumahnya sebagai upah dari ketaatannya kepada Allah dan kesetiaan pada suaminya.

6. Wanita yang senantiasa meminta redha suami atasnya

Wanita ini tahu bagaimana menyenangkan hati suaminya. Menjaga sikap dan tingkah laku agar tidak menyinggung dan melukai perasaan suaminya. Dia selalu berusaha agar suaminya tidak marah padanya. Dia tidak akan pergi tidur dalam keadaan marah atau meninggalkan suaminya dalam keadaan marah hingga memperoleh maafnya. Mengajak suaminya bergurau untuk menceriakan perkahwinannya. Berusaha mendidik anak-anaknya dengan baik. Menjaga rahsia perkahwinan dari orang lain.

“Mahukah kalian kuberitahu isteri-isteri yang menjadi penghuni syurga iaitu isteri yang penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada suaminya, di mana jika suaminya marah dia mendatangi suaminya dan meletakkan tangannya pada tangan suaminya seraya berkata” Aku tak dapat tidur sebelum engkau reda.” (hran Nasai).

Isteri seperti ini adalah isteri yang dimudahkan rezekinya melalui tangan suaminya kerana amalan dan kesetiaan pada suaminya.

7. Wanita yang menerima pemberian suami dengan ikhlas

Wanita yang tidak pernah mengeluh berapapun rezeki yang dibawa pulang suaminya. Selalu ikhlas menerima dan menghargai apa-apa yang diberikan suami  kepadanya. Banyak disyukuri sedikit pun diterima dengan ikhlas. Wanita seperti ini adalah wanita yang mensyukuri rezekinya. Allah sudah menjanjikan bahawa jika kita bersyukur Dia akan menambah rezeki kita. Wanita yang bersyukur dan ikhlas rezekinya senantiasa bertambah baik kuantiti mahupun keberkatannya yang akan diberi Allah langsung padanya ataupun melalui suaminya.

8. Wanita yang boleh menjadi pasangan meraih redha Allah

Wanita yang menjadikan rumah tangganya sebagai ibadah, pengabdian kepada Allah. Boleh menjadi teman diskusi yang berimbang bagi suami. Boleh melakukan pembetulan dan menyampaikan dengan lembut kepada suaminya. Mendengar nasihat dan kata-kata suaminya dengan penuh perhatian. Sebelum melaksanakan ibadah sunnah seperti puasa sunnah meminta izin kepada suaminya dan tidak melaksanakan jika tidak dibenarkan. Boleh menjadi pendorong dan motivator suami untuk meraih kejayaan dunia dan akhirat. Itulah mengapa ada kalimat “di sebalik lelaki yang berjaya ada wanita hebat di belakangnya”. Kerana wanita seperti ini adalah rezeki utama suaminya.

9. Wanita yang tak pernah putus doa untuk suaminya

Wanita yang bersyukur adalah wanita yang menerima semua kehendak / takdir Allah padanya tapi tetap berusaha melakukan yang terbaik termasuk dengan mendoakan suami dan anak-anaknya agar berjaya dunia akhirat. Wanita ini tidak pernah putus doa, tetapi menjadikannya sebagai rutin harian, penghias bibir selepas solat. Wanita ini tahu bahawa rezeki suaminya akan ditambah dan diberkati jika dirinya senantiasa melibatkan Allah pada langkah suaminya melalui doa-doa yang dipanjatkannya setiap hari.

Dan betapa beruntungnya seorang laki-laki jika boleh mendapatkan isteri dengan ciri-ciri seperti di atas. Jika pun isteri ternyata belum mempunyai ciri-ciri seperti di atas adalah tugas suami untuk mendidik isterinya, kerana isteri adalah tanggung jawab suaminya dan dia akan ditanya di akhirat tentang hal itu. Wallahu a’lam.

Sumber dari:
Copyright © 2014 Harakah.